Allah mahu kita sent ingt pada-Nya..
Allah nk kita kembali pada-Nya..
Hari ini 2 Ramadhan. Ramadhan sudah tiba, hari raya Aidilfitri pun semakin hampir.
Menjelang musim perayaan, semua orang berpusu-pusu membeli barangan dan pakaian dek kerana banyaknya diskaun dan promosi yang ditawarkan. Tawaran-tawaran tersebut julung-julung kalinya diadakan dalam setahun sempena musim perayaan. Begitu juga dengan bulan Ramadhan. Ganjaran sempena bulan Ramadhan datang hanya setahun sekali malah ganjarannya berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan lain. Kemuncak tawaran sempena Ramadhan ini adalah syurga yang penuh dengan kenikmatan. Sungguh bulan Ramadhan itu hadiah yang sangat istimewa buat umat Nabi Muhammad S.A.W. Hargailah ia selayaknya.
Sedihnya, ramai di kalangan masyarakat kini menghadapi Ramadhan secara ala kadar sahaja berbanding persiapan menuju hari raya yang sungguh meriah. Begitukah sikap kita apabila menerima hadiah dari Rabbul ‘alamin, sedangkan apabila manusia memberi kita hadiah, kita sangat menghargainya?
Daripada Salman r.a. ia berkata: “Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir bulan Syaaban dan sabdanya:- “Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya) sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib pada bulan Ramadan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh puluh (70) amalan fardhu.” [Riwayat Imam Baihaqi]
Oleh sebab itu, setiap orang yang beriman sangat menanti-nantikan kehadiran bulan ini dan berusaha mempertingkatkan amalan sempena bulan yang mulia ini. Meriahnya menyambut Ramadhan bukan sahaja dengan juadah berbuka yang pelbagai tetapi juga amalan yang pelbagai. Adakah kita ingin menghadapi sebuah bulan yang penuh dengan keistimewaan dengan semberono sahaja seperti bulan-bulan lain. Bersyukurlah kepada Allah yang masih memberi kita peluang untuk menikmati Ramadhan kali ini. Sungguh masih tidak terlambat untuk bersedia, kita masih ada 29 hari untuk memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadhan ini.
Cuba imbau kembali post-mortem Ramadhan yang lepas. Adakah kita telah buat sehabis baik dalam Ramadhan tersebut? Sudah pasti kita tidak mahu penyesalan-penyesalan Ramadhan yang lepas berulang kembali pada Ramadhan kali ini. Rugilah orang-orang yang tidak menghargai Ramadhan yang tiba ini kerana mungkin sahaja Ramadhan yang datang ini Ramadhan yang terakhir.
Maksud firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
Sungguh indah setiap ibadah itu apabila dihayati, termasuklah ibadah puasa. Nikmatnya apabila setiap ibadah yang dilakukan terasa kemanisannya. Sungguh setiap insan ingin mengecapi kemanisan dalam beribadah, itulah ibadah yang melahirkan ketakwaan. Tidak kira ibadah apa yang dilakukan, walau sekecil-kecil ibadah, ibadah umum atau khusus, hasil yang diharapkan pastinya ketakwaan. Kemanisan ibadah itu berkait rapat dengan kemanisan iman.
Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
Hargailah Ramadhan yang datang buat julung-julung kalinya selayaknya. Sesungguhnya bulan Ramdhan itu seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya dengan pelbagai kebaikan serta amal soleh agar kita termasuk di kalangan orang-orang yang beruntung, beruntung di dunia dan akhirat. Semoga ibadah puasa kali ini berjaya melahirkan individu-individu yang punya ketakwaan yang mendalam kepada Allah. Insya-Allah
Tempat pembaringan Nabi di Hijr Ismail dalam Masjidil Haram di Mekah masih terasa hangat. Baginda baru kembali dari satu perjalanan yang begitu jauh. Namun, tempatnya berbaring sebelum memulakan perjalan sebentar tadi masih terasa kehangatannya. Begitulah yang dikatakan oleh sesetengah riwayat. Begitulah pendeknya masa suatu perjalanan yang begitu jauh.
Itulah suatu perjalanan malam dari Makkah ke Baitul Maqdis (Isra’) dan dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha (Mi’raj). Perjalanan itu seharusnya memakan masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Namun, peristiwa tersebut tidaklah memakan masa melainkan hanya sebentar sahaja. Subhanallah.Itulah peristiwa yang dinamakan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Peristiwa yang menunjukkan betapa hebatnya kekuasaan Allah.
“ Maha suci Allahyang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat”
(Surah Al-Isra’ ayat 1)
Sungguh peristiwa ini tidak logik apabila difikirkan oleh akal sungguhpun akal itu waras. Di sinilah neraca iman memainkan peranan yang sangat penting dalam menilai sesuatu. Iman yang membenarkan setiap perkataan yang keluar dari Nabi S.A.W dan juga setiap bait-bait cinta kalam Allah.Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang sangat unggul apabila terus mengenepikan logik akal dalam peristiwa ini. Itulah sebab Saidina Abu Bakar digelar as-siddiq, yang membenarkan setiap patah perkataan Nabi S.A.W. Sedikit keraguan mengenai peristiwa ini bermakna kekufuran.
Begitulah dalam kehidupan seharian. Iman mesti mandahului akal. Perintah Allah dan Rasul berada di ranking yang tertinggi, atas daripada rasa hati sendiri mahupun permintaan sesiapa pun.
Sungguh peristiwa Isra’ Mikraj ini pelik, tak tercapai dek akal manusia. Inilah yang dinamakan mukjizat. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi kita yang tercinta. Di saat Nabi sedang berdukacita dengan kematian dua insan yang tersayang iaitu isterinya dan bapa saudaranya, Allah menggembirakan hati baginda dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Nabi berkesempatan bertemu dengan Allah ketika naik ke Sidratul Muntaha dan menerima kewajipan solat.
Satu perkara yang sangat penting. Nabi naik bertemu Allah di Sidratul Muntaha setelah melalui 7 lapisan langit, bukan bermakna Allah itu menetap di Sidratul Muntaha. Maha suci Allah dari bertempat. Tiada sesuatu pun yang wujud sebelum Allah tidak kira langit, bumi mahupun ‘arasy. Allah sudah sedia wujud tanpa perlu kepada sesuatu yang lain. Kemudian, Dialah yang mencipta segala sesuatu di atas muka bumi ini.
Peristiwa yang berlaku lebih kurang 1431 tahun yang lalu ini akan sentiasa terpahat di minda orang-orang yang beriman. Walau peristiwa ini telah lama berlaku, masih terasa kehangatannya dalam hati orang-orang yang beriman. Dulu, kini dan selama-lamanya.