Tuesday, June 28, 2011

Masih terasa kehangatannya


Hijr Ismail
(It is a marbled area with a wall in the form of a
semi-circle with an eastern and a western opening)


Tempat pembaringan Nabi di Hijr Ismail dalam Masjidil Haram di Mekah masih terasa hangat. Baginda baru kembali dari satu perjalanan yang begitu jauh. Namun, tempatnya berbaring sebelum memulakan perjalan sebentar tadi masih terasa kehangatannya. Begitulah yang dikatakan oleh sesetengah riwayat. Begitulah pendeknya masa suatu perjalanan yang begitu jauh.

Itulah suatu perjalanan malam dari Makkah ke Baitul Maqdis (Isra’) dan dari Baitul Maqdis ke Sidratul Muntaha (Mi’raj). Perjalanan itu seharusnya memakan masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun. Namun, peristiwa tersebut tidaklah memakan masa melainkan hanya sebentar sahaja. Subhanallah.Itulah peristiwa yang dinamakan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Peristiwa yang menunjukkan betapa hebatnya kekuasaan Allah.

“ Maha suci Allahyang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat”

(Surah Al-Isra’ ayat 1)

Sungguh peristiwa ini tidak logik apabila difikirkan oleh akal sungguhpun akal itu waras. Di sinilah neraca iman memainkan peranan yang sangat penting dalam menilai sesuatu. Iman yang membenarkan setiap perkataan yang keluar dari Nabi S.A.W dan juga setiap bait-bait cinta kalam Allah.Saiyidina Abu Bakar as-Siddiq dan para sahabat telah menunjukkan contoh yang sangat unggul apabila terus mengenepikan logik akal dalam peristiwa ini. Itulah sebab Saidina Abu Bakar digelar as-siddiq, yang membenarkan setiap patah perkataan Nabi S.A.W. Sedikit keraguan mengenai peristiwa ini bermakna kekufuran.

Begitulah dalam kehidupan seharian. Iman mesti mandahului akal. Perintah Allah dan Rasul berada di ranking yang tertinggi, atas daripada rasa hati sendiri mahupun permintaan sesiapa pun.

Sungguh peristiwa Isra’ Mikraj ini pelik, tak tercapai dek akal manusia. Inilah yang dinamakan mukjizat. Mukjizat yang diberikan kepada Nabi kita yang tercinta. Di saat Nabi sedang berdukacita dengan kematian dua insan yang tersayang iaitu isterinya dan bapa saudaranya, Allah menggembirakan hati baginda dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Nabi berkesempatan bertemu dengan Allah ketika naik ke Sidratul Muntaha dan menerima kewajipan solat.

Satu perkara yang sangat penting. Nabi naik bertemu Allah di Sidratul Muntaha setelah melalui 7 lapisan langit, bukan bermakna Allah itu menetap di Sidratul Muntaha. Maha suci Allah dari bertempat. Tiada sesuatu pun yang wujud sebelum Allah tidak kira langit, bumi mahupun ‘arasy. Allah sudah sedia wujud tanpa perlu kepada sesuatu yang lain. Kemudian, Dialah yang mencipta segala sesuatu di atas muka bumi ini.

Peristiwa yang berlaku lebih kurang 1431 tahun yang lalu ini akan sentiasa terpahat di minda orang-orang yang beriman. Walau peristiwa ini telah lama berlaku, masih terasa kehangatannya dalam hati orang-orang yang beriman. Dulu, kini dan selama-lamanya.


No comments:

Post a Comment